Content Image

LAWATAN KERJA YB TUAN LING TIAN SOON, PENGERUSI JAWATANKUASA KESIHATAN DAN ALAM SEKITAR NEGERI JOHOR KE TAMAN NEGARA JOHOR ENDAU-ROMPIN (PETA)

Satu Denai, Seribu Cerita.
Lawatan kerja Yang Berhormat Tuan Ling Tian Soon ke Taman Negara Johor Endau-Rompin (Peta) kali ini membawa beliau menyelami sendiri keindahan, cabaran dan khazanah alam semula jadi yang menjadi nadi kepada salah sebuah hutan hujan tropika tertua di dunia.
Diiringi Yang Berusaha Tuan Sufian bin Suleiman ᴋ.ʙ.; ᴘ.ᴀ., Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor, pengembaraan YB bermula dengan lawatan ke Rainforest Discovery Centre (RDC) sebelum meneruskan kunjungan ke Nature Education and Research Centre (NERC).
Di kedua-dua lokasi ini, YB diberi penerangan mengenai kekayaan biodiversiti Endau-Rompin, kemudahan sedia ada serta usaha pendidikan, penyelidikan dan pemuliharaan yang dilaksanakan bagi memastikan khazanah alam ini terus terpelihara.
Namun, perjalanan sebenar baru sahaja bermula.
Dari Kuala Jasin, YB bersama pasukan memulakan aktiviti trekking meredah denai hutan menuju ke Kuala Marong dan seterusnya ke Tasek Air Biru serta Air Terjun Upeh Guling.
Keseluruhan perjalanan pergi dan balik adalah sejauh 6.8 kilometer dan mengambil masa kira-kira 2.5 jam, menjadikan pengembaraan ini bukan sahaja satu pengalaman meneroka alam, malah turut menguji ketahanan fizikal dan semangat peserta.
Sepanjang perjalanan, YB turut ditemani dan diberikan penerangan secara langsung oleh kakitangan Orang Asli (OA) iaitu En Zamri yang mempunyai pengetahuan serta pengalaman dekat dengan persekitaran hutan. Perkongsian meliputi tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sepanjang denai, kegunaan spesies tertentu, keunikan flora serta tanda-tanda kehadiran hidupan liar.
Setiap langkah di sepanjang denai membuka ruang pembelajaran baharu. YB turut didedahkan mengenai habitat hidupan liar, kesan kehadiran haiwan di dalam hutan serta tingkah laku spesies yang mendiami kawasan hutan hujan tropika ini. Perkongsian tersebut memberi gambaran lebih dekat tentang bagaimana setiap hidupan, daripada tumbuhan kecil sehinggalah haiwan liar, saling bergantung antara satu sama lain dalam membentuk ekosistem yang kompleks dan seimbang.
Perjalanan diteruskan ke Tasek Air Biru. Di sini, YB telah menyempurnakan Program Pelepasan 300 ekor anak ikan kelah yang merupakan sumbangan daripada Jabatan Perikanan Negeri Johor. Kawasan ini turut dikenali sebagai Santuari Ikan Kelah.
Pelepasan ikan kelah ini membawa mesej besar tentang kepentingan menjaga sungai dan ekosistem air tawar. Kelestarian alam bukan hanya tentang memelihara hutan, tetapi turut memastikan hidupan yang bergantung kepada ekosistemnya terus dapat diwarisi oleh generasi akan datang.
Pengembaraan kemudiannya diteruskan dengan treking menuju ke Air Terjun Upeh Guling.
Air Terjun Upeh Guling bukan sekadar air terjun biasa. Keistimewaannya terserlah pada formasi batuan granit semula jadi yang telah mengalami proses hakisan air dalam tempoh yang sangat lama, lalu membentuk kawah-kawah dan kolam semula jadi yang unik di sepanjang aliran sungai.
Setiap perjalanan menjadi satu pengalaman pembelajaran secara langsung di dalam kelas alam yang sebenar, apabila ilmu mengenai flora, fauna, sungai dan ekosistem dikongsikan sepanjang perjalanan oleh pasukan PTNJ serta kakitangan Orang Asli yang dekat dengan kehidupan dan persekitaran hutan.
Perjalanan ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila YB menjadi EXCO Johor pertama yang berjaya melakukan aktiviti trekking sehingga tiba di Air Terjun Upeh Guling.
Usai pengembaraan, rombongan menikmati minum petang di Kuala Marong sambil menghayati suasana damai di tengah-tengah hutan.
Apabila malam menjelma, Endau-Rompin memperlihatkan pula sisi keajaibannya yang tersendiri.
Aktiviti stargazing memberi peluang kepada YB dan pasukan menyaksikan keindahan langit malam serta galaksi Bima Sakti, jauh daripada pencemaran cahaya bandar. Lebih daripada sekadar menikmati pemandangan langit, stargazing merupakan salah satu pengalaman edutourism yang berpotensi diterokai di Taman Negara Johor Endau-Rompin (Peta), dengan membuka ruang kepada pengunjung untuk mengenali langit malam, memahami alam semula jadi dan menghargai hubungan antara manusia dengan persekitaran.
Malam turut diserikan dengan sesi ramah mesra bersama para peserta Kursus Latihan Operasi Pencegahan Pemburuan Haram di Kawasan Perlindungan (Deep Forest Counter Poaching Operation) yang sedang mengikuti latihan dan pembelajaran di Taman Negara Johor Endau-Rompin (Peta) anjuran Wildlife Conservation Society (WCS).
Seharian menelusuri denai hutan, sungai, santuari ikan dan air terjun membuktikan bahawa untuk benar-benar memahami nilai alam, kita perlu melihat, mendengar dan merasainya sendiri.
Pengembaraan ini bukan sahaja memperlihatkan keindahan Endau-Rompin, malah membuka ruang kepada YB untuk memahami dengan lebih dekat tentang kehidupan di dalam hutan daripada tumbuh-tumbuhan dan kegunaannya, habitat semula jadi hidupan liar, tingkah laku haiwan, peranan komuniti Orang Asli, sehinggalah hubungan saling bergantung antara setiap elemen dalam ekosistem.
Taman Negara Johor bukan sekadar destinasi untuk dikunjungi.
Ia adalah sebuah kelas alam terbuka, ruang pembelajaran, khazanah biodiversiti dan warisan yang perlu dihargai serta dipelihara bersama.
Please follow and like us:
admin
Thumbnail

Previous Post
SAMBUTAN HARI...

Thumbnail

Next Post
PROGRAM PEMANTAUAN...

Skip to content